Okey..
masih
dalam mood nak share karya kecil untuk tatapan anak2..
setiap
apa yang diluahkan dlm penulisan,,
menjadikan
i lebih jujur.. lebih menghargai..
lebih
berhati-hati..
agar
sakitnya.. orang lain tidak merasainya..
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
KHILAF KENANGAN
Aku
menjeling sekilas meja di sebelah kiriku sebelum duduk. Daripada ekor mata
dapat aku rasakan dia seolah-olah bersedia untuk menghulurkan salam perkenalan.
Aku mencapai botol minuman di penjuru meja, lantas meneguk rakus seusai membaca
kalimah Atas Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Perit rasa
dikerongkong setelah tamat dua masa pengajaran di Tingkatan 5 Bestari menyurut.
Namun, aku masih membeku tanpa menoleh, apa lagi mahu menyapa “jiran” baru itu.
Keluar
daripada bilik Penolong Kanan Ko Kurikulum dengan satu perasaan yang aku sendiri tidak pasti apa maksudnya. “Memandangkan
beban kerja awak semakin bertambah kebelakangan ini, saya akan memberikan
Jawatan Ketua Penasihat Pandu Puteri kepada Cikgu Nini yang baru datang tu ye”
Tutur
kata lunak daripada Encik Zainal aku rasakan sekadar menyedapkan hatiku sahaja.
Jawatan Ketua Penasihat Pandu Puteri yang aku sandang hampir enam tahun akan bertukar
tangan. Sungguh aku benar jatuh cinta dengan persatuan ini. Komitmen dalam
lain-lain tugasan sejak akhir-akhir ini memaksa aku memilih untuk menjadikan ia
sebagai pilihan kedua.
“
Ermm.. kak”, antara dengar dengan tidak aku menoleh ke arah Cikgu Nini
sekilas, mohon disambung apa hajat yang hendak disampaikan. Seketika baru Nini
menyambung kebimbangannya dengan jawatan yang baru diberikan.
“ Saya harap akak sudi bagi saya tunjuk ajar”.
Aku
pasti itu penyudah ayat dia. Aku mengangguk lambat. Hati sebenarnya memberontak
untuk menyatakan mengapa aku dingin terhadapnya. Khabar angin sebelum dia
datang disampaikan Pengetua menyatakan ada guru baru yang akan ditukarkan ke
sekolah aku kerana tidak boleh menghadapi tekanan di sekolah lamanya. Ia cukup
membuatkan aku merumus sendiri sikap cikgu itu mesti suka mengelak
tanggangjawab. “Tak payah jadi cikgu kalau tak nak tekanan”, gumamku
semasa taklimat mingguan guru petang itu.
Seminggu
kemudian, aku terpandang Modul Panduan Buku Log Ahli Persatuan Pandu Puteri
di atas mejaku pagi-pagi hari Rabu. Aku menyelak sedikit untuk melihat isi
kandungannya sebelum meletakkan di atas timbunan buku latihan pelajar. Aku
mengikut cikgu-cikgu yang lain yang mula bergerak ke tapak perhimpunan ko
kurikulum.
“
Kak, saya dah letak modul atas meja akak. Nanti akak tengok eh, boleh ke tak
saya guna modul tu.” Melihat aku
sekadar mendiamkan diri, Nini pantas menyambung, “saya
tak tahu la kak macam mana nak jalankan aktiviti. Jadi saya dah rujuk fail-fail
pengurusan akak kat bilik koko. Sebab itu saya buatkan modul untuk mudahkan
saya faham pengendaliannya. Boleh ye kak?”. Segan apabila menyedari
beberapa rakan lain memandang ke arah kami, aku berjanji akan menyemak bila
berkelapangan nanti.
“
Nini”, aku menuntut dia mengalihkan pandangannya kepadaku. Nini cepat-cepat
meletakkan penanda buku di antara muka surat novel yang sedang dibaca dan terus
berpaling menghadap aku yang sedang berdiri. Akur dengan keberkesanan modul itu,
aku bersetuju menggunakannya untuk ahli muda terlebih dahulu. Melihat dia
sentiasa tersenyum dalam redup matanya menatap mukaku semasa memberikan
rasional keputusan yang aku buat, aku rasa aman menjengah hati. Usai
menyatakannya, aku berharap ia menjadi salam perkenalan aku untuk dia. Dia
menyambut modul yang aku hulurkan seraya berjanji akan membuat salinan untuk
kegunaan pelajar pada perjumpaan persatuan hujung minggu nanti.
Entah
bila bermula, bagaimana caranya, tidak aku pasti. Saban hari aku semakin senang
dengan Nini yang lembut tutur katanya. Lebih-lebih lagi kami rupanya berkongsi
obsesi terhadap novel dan mengumpul artikel akhbar atau majalah. Daripada
bertukar-tukar koleksi, berlarutan kepada sesi membuat ulasan mana-mana novel
yang baru kami baca. Kadang-kadang kami sambung bersembang melalui telefon
ataupun sms setelah tamat sesi persekolahan. Tugasan
pengurusan persatuan juga makin mudah dikendalikan bila kami sama-sama
menyelesaikannya. Malah aku mengusir
jauh persepsi awalku terhadapnya. Ternyata telahan aku terhadapnya bagaikan
menghukum sebelum mengenali hati budinya.
Tidak
seperti selalu, satu pagi, Nini kelihatan lemah. Sorotan matanya dalam dan
senyumnya hambar. Bila aku bertanya, Nini tidak sudah-sudah tersenyum dan
menggeleng. Keadaan Nini makin teruk selepas tengahari. Setelah berkali-kali
mendesak, akhirnya Nini membuatkan jantungku tersentak kuat. Dalam senyum yang
tidak pernah surut, dia menyatakan dia mengidap penyakit jantung. Berkaca
mataku bila Nini menyatakan mungkin dia menunggu hari sahaja untuk kembali.
Pantas terbayang dilayar mindaku tiga orang anak Nini yang masih kecil.
Tuhan,
aku sekali lagi rasa terhukum dengan tuduhan aku terhadap Nini. Aku akhirnya
faham mengapa banyak sekali artikel tentang pesakit jantung koleksi Nini.
Malah, setiap kali berita kematian pesakit jantung disiarkan di dalam berita
media massa, dia akan mengirimkan pesanan ringkas sms kepada aku tanpa
mengira masa. Aku sekadar mengabaikan sms-sms sebegitu kerana
beranggapan Nini hanya berkongsi berita dengan aku yang cukup liat untuk
membaca surat khabar. Baru aku sedar apabila Nini kerap juga meminta bantuan
aku menangani kenakalan pelajar Tingkatan 5 Bestari ketika sesi pengajaran yang
dijalankan. Simpati aku menggunung kepada Nini yang menanggung beban yang maha
berat diusia semuda dia.
“
Nape ni?”, aku pantas menyoal ketika Nini dalam tangisan yang ditahan-tahan
terkocoh-kocoh mengemas buku-buku atas meja dia. Nini semakin keruh mukanya
meneruskan kerja mengemasnya sekadar menjeling sekilas kepadaku. Setelah
setitik mutiara jernih jatuh daripada tubir mata melalui pipi cengkungnya, Nini
menyatakan nenek dia meninggal dunia. Ucapan takziah daripada rakan-rakan yang
turut mendengar menerbitkan senyum kelam dibibir Nini. Aku mengiringi Nini ke
kereta, membisikkan agar dia banyak bersabar dan bertenang.
Sebelum
menutup pintu keretanya, Nini merenung lama muka aku. “ Sorilah kak. Saya
belum dapat selesaikan lagi masalah siapa guru pengiring ahli Pandu Puteri yang
akan ke Kelantan tu la. Bagi saya sikit
masa ye kak.” Geram berbaur dihati. “ Tak payah fikir kerja sekejap
boleh tak? Tahu la nanti akak nak buat macam mana.”
Nini menggeleng sebelum menjawab “saya tahu tanggungjawab saya kak. Saya tak
akan bebankan akak.” Aku cepat-cepat menutup pintu kereta Nini menghantar
maksud agar dia hentikan persoalan itu.
Cermin
tingkap diturunkan untuk melambai kepada aku yang masih menunggu Nini bergerak.
“Akak jangan lupa tengok cerita Vivaah malam ni tau. Best cerita tu” dan aku tahu Nini sekadar mahu aku tidak
terus tenggelam dengan emosi sedih dia. Filem Hindi, satu lagi minat yang turut
dikongsi.
“Syukur,
dah selesai urusan kebumi dan tahlil untuk malam ini”
Esoknya,
Nini mengutuskan perasaannya kepada aku. Aku turut merasakan berat beban yang
dipikul Nini sebagai anak sulung dengan adik-adik yang masih kecil.. Aku sempat
bertanyakan khabar dia sendiri.
“Akak
tengok tak citer Vivaah ari tu?”
“
Ala.. lupa la nak nengok” terus
butang hantar aku tekan.
“
x pe.. nti kan ada ulangan kat Astro. Kak nengok eh?”
Aku
menggelengkan kepala seketika. Terdetik di hati apa istimewanya cerita Hindi
yang Nini sibukkan itu.
Aku
mengisi ruangan nama Nini di buku kedatangan guru dengan perkataan “MC”. Nini
mengirimkan sms katanya masih belum sihat. Pasti Nini masih penat dengan
urusan berkaitan arwah neneknya.
Isnin
berikutnya, genap seminggu Nini cuti sakit. Aku dihurung rindu pada Nini. Meja
Nini yang kosong aku duduk seketika untuk membaca artikel yang dikumpul. Novel Ayat-ayat
Cinta yang aku pinjam daripada Nini Jumaat lepas aku letakkan di dalam laci
sebelah atas meja Nini. Aku sekadar mengeluh bila setiap kali menghubungi Nini, dia bertegas
untuk pergi menghantar ahli Pandu Puteri yang akan berkhemah selama sepuluh
hari di Kelantan hujung bulan nanti.
Aku
bosan dengan desakan Nini yang seolah-olah tidak mengerti akan kerisauan aku
akan tahap kesihatan dia. Alasan Nini Cuma satu, “ saya tak nak susahkan
akak. Akak pun ada komitmen akak sendiri. Lagipun itukan tanggungjawab saya”.
“Kau
jangan mengada boleh tak Nini”. Terus aku putuskan talian tamatkan
perbualan dengan berbaur rasa marah dan
geram.
“
Cikgu Aisyah!..” laung Ameer Izat dari jauh ketika aku turun daripada bilik
kaunseling pagi esoknya. Aku berhenti seketika menunggu Ameer menghampiriku.
“Cikgu
Nini meninggal” suara Ameer berselang seli dengan nafas tercungap-cungap
mengejar aku tadi.
“
Awak kalau tak suka pun dengan cikgu tu, jangan buat cerita lawak bodoh tu
boleh tak?”. Aku marah benar dengan kenyataan Ameer yang semua orang tahu
akan sikap paling nakal di sekolah.
“Cikgu
memang tak percaya saya kan?. Baik Cikgu tanyakan Cikgu Amran”. Ameer Izat
berlalu tinggalkan aku yang masih memproses pertimbangan seterusnya.
Menghampiri
bilik Pengetua, aku lihat beberapa orang rakanku sedang berbual di depan pintu
bilik Cikgu Amran. Aku melepaskan keluhan berat untuk mencari kekuatan untuk
menghampiri kumpulan kecil itu.
“Aisyah
dah dapat berita pasal Nini kan? Saya izinkan Aisyah ke hospital sekarang
sementara jenazahnya masih di sana.”
Belum
sempat aku bertanya, Cikgu Amran terlebih dahulu mencadangkan tindakan aku
seterusnya. Entah mengapa mataku tidak menitiskan air mata walaupun aku lihat
Zarina dan Linda menyeka pelupuk mata masing-masing yang basah. Aku sekadar mengikut
langkah Julia ke kereta.
Hatiku
rasa sakit ketika tiba di ruang menunggu bilik mayat hospital. Aku memang tidak
suka melihat wajah-wajah sugul di situ. Gadis sunti seiras Nini meluru memeluk
aku dengan sedu yang dalam. Seketika kami menoleh bila pintu salah satu bilik
terbuka. Kelihatan Azhan, suami Nini keluar dari situ dengan tenang tanpa riak.
“Sesiapa
yang nak tengok arwah buat kali terakhir boleh la masuk” mendatar sahaja suara Azhan menyapa
telingaku.
Lambat-lambat
aku melangkah setelah memberi ruang kepada semua adik-adik Nini bertemu
dengannya terlebih dulu.
Lama
aku mengucup dahi Nini yang sejuk membeku. “Kau belum habis lagi urusan
dengan akak Nini. Rehatlah”. Pantas aku mengangkat mukaku. Baru terasa
hangat tubir mataku. Senak dadaku, sesak nafasku bila teringatkan
pertelingkahan kami lewat malam tadi.
Terasa
jari-jari kecil Naurah menyapu pipiku. Aku cuba senyum padanya.
“Ibu
jangan nangis ye, ibu bole tengok cite Vivaah ni. Adik tak nak la tengok cite
Boboi boy tu”.
Baru
kusedari, ruang menonton sudah tidak kedengaran lagi suara anak-anak dan
suamiku bertingkah berebutkan saluran televisyen. Masing-masing sudah terbaring
mengadap permulaan cerita Vivaah disaluran Zee. Aku memimpin Naurah ke
arah suami dan membaringkan dia di situ.
Aku
berlalu ke bilik air untuk berwuduk. Aku mencapai surah Yassin dan mengemaskan
sila di dalam ruangan solat rumahku. Ternyata, selepas lima tahun, aku masih tidak mempunyai kekuatan
untuk menonton Vivaah.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
** Al-Fatihah untukmu teman.. Rindu menjengah kala dicicip rasa..