Lama tak meng "date" dgn ktkb ni...
Fuh..fuh.. tiup abuk sikit...
Ermmmm... apa nk story ni????
Ting!!!
Nak share karya lama laa... dah publish pun majalah sekolah..
tp nk share jugak laa..
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Kapal terbang kertas biru
“Ha! Apa lagi
tu terkebil-kebil. Cepat keluar,” Najib masih lagi tercegat di hadapan
mejaku.
Terkejut dek
jerkahan Najib sebentar tadi membuatkan aku terpinga-pinga memandang sekitar
sekelas yang sudah kosong. Kelihatan Liza tersengih-sengih di muka pintu
melambai tangan kepadaku. Segera aku melipat kertas biru di tangan dan masukkan
dalam kocek. Sengaja aku melanggar kasar bahu Najib ketika melepasinya untuk
menyertai Liza. Sempat aku mendengar Najib berdicit geram dengan tindakan aku.
Aku mendapatkan Liza dan kemudiannya
beriringan ke tapak perhimpunan.
Cuaca panas
petang itu membuatkan badan terasa penat. Kecil besar mataku menahan mengantuk
dan bahang biarpun terlindung dek teduhan bayangan pohon ketapang . Seperti
biasa, aku akan menunggu Liza di bangku itu sementara Liza selesai latihan
hoki. Aku sememangnya seorang kaki bangku, hanya menemani Liza sahaja. Tambahan
pula, aku tidak berminat dengan kelab hoki sekolah. Sebabnya? Najib, musuh
ketatku, menyandang jawatan Kapten pasukan sejak tahun lepas.
“Harap-harap
pakcik Lan masih tunggu aku”, sempat berdoa sambil melangkah laju-laju ke
pondok di simpang masuk ke rumahku. Aku terlambat bangun pagi tadi gara-gara
jam loceng kehabisan bateri. Dari jauh aku nampak bas masih menunggu aku.
Berlari-lari anak aku mendapatkannya. Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke tangga
bas, aku terdengar suara-suara sumbang membebel kerana terpaksa menunggu aku. Aku
melabuhkan punggung di sebelah Liza yang tenang memandang aku.
“Kalau kena
tahan dengan Ketua Pengawas kat depan pagar nanti, kau siap eh!,” Azmawati di
kerusi sebelah sempat memberi amaran .
Seperti di duga,
sememangnya pengawas sudah bersedia menyambut kedatangan kami satu bas yang
terlambat hampir sepuluh minit. Melihat pelajar lelaki berbaju kemeja biru muda
berdiri sambil kedua-dua tanganya di pinggang membuatkan lututku menjadi lemah.
Aku membiarkan seorang demi seorang pelajar turun sebelum aku dan Liza menjadi
orang terakhir yang turun. Hairan juga bila melihat semua orang melepasi kawad
pengawas bertugas dengan mudah.
“Awak jalan
dulu Norliza, awak tunggu Aimie,” keras suara Najib kedengaran di
telingaku. Sekilas aku memandang Liza dan mengangguk. Liza meninggalkan aku
keseorangan menunggu hukuman.
“Awak fikir
awak anak raja. Buat semua orang lambat sebab terpaksa menunggu tuan puteri ni
seorang ke?,”masih bernada keras. Bebelan seterusnya antara dengar dan
tidak menyapa telingaku. Tangan menghulur buku Merit Demerit untuk mencatat
kesalahan pelajar seperti aku hari ini. Ternyata tindakan tersebut berjaya
menghentikan bebelan si Ketua Pengawas.
Sebelum menyerahkan kembali buku tersebut kepadaku, Najib sempat
mengingatkan aku tentang kelas tahanan yang perlu aku lalui selepas tamat waktu
persekolahan.
Laju kaki
melangkah ke kelas di tingkat dua Bangunan UPSI. Selepas meletakkan beg sekolah
dan botol air, pantas tanganku menyelongkar laci. Aku tersenyum bila tangan
menyentuh kertas. Perlahan aku keluarkan kertas
biru yang dilipat menjadi kapal terbang. Sejak berpindah masuk ke
sekolah ini tahun lepas, setiap hari aku menerima origami kapal terbang kertas
biru yang diletakkan di dalam laci mejaku. Setiap kapal terbang akan ditulis
satu ayat yang memberikan nasihat atau kata-kata semangat untuk aku.
Bagaimanapun, tiada nama pengirim ditulis pada kapal terbang tersebut. Hari
ini, “si kapal terbang kertas biru” menasihatkan aku agar menutup aurat
dengan sempurna ketika di luar waktu persekolahan. Entah mengapa, aku senang
dengan setiap nasihat yang dititip.
8 April, hari
jadiku yang ke 17 tahun. Tidak sabar aku untuk ke sekolah untuk melihat jika
aku bakal menerima selain kapal terbang kertas biru. Gembira bukan kepalang
bila bukan hanya ada kapal terbang kertas biru, tetapi juga ada sebuah kotak
kecil juga dibalut dengan kertas biru. Tiada apa-apa catatan pada kapal terbang
kertas. Dengan berhati-hati, aku buka pembalut kotak kecil itu. Hanya ada
sekeping kad kecil yang tertulis ungkapan “ Selamat ulang tahun kelahiran
yang ke 17. Jangan lupa ucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapamu yang
melahirkan dan membesarkanmu sehingga hari ini. Hadiahkan mereka dengan
kejayaanmu di dalam SPM kelak”.
Sebolehnya aku
akan mengelak untuk bertembung dengan Najib. Namun , bagaimana aku boleh
berterusan mengelak daripadanya sedangkan kami sekelas. Setiap hari, ada sahaja
modal dia untuk mensabitkan aku dengan kesalahan yang pada aku tidak masuk
akal. Semalam aku penat bertekak dengan dia. Sebabnya hanya kerana aku enggan
keluar daripada kelas waktu rehat. Hari ini lain pulak kisahnya. Cikgu Rohaya meletakkan aku satu kumpulan dengan Najib untuk projek khidmat masyarakat bagi
mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan. Panas telinga aku mendengar sindiran
Najib yang mengusulkan tajuk gejala sosial dalam kalangan remaja perempuan masa
kini. Memang sengaja mencari pasal dengan aku gamaknya.
“Aimie,, awak
jangan mengada-ngada nak keluar melepak dengan budak-budak nakal lepas sekolah
ni. Malu la sikit. Kita kan sedang buat projek berkaitan gejala sosial remaja
kan?,” tersentap hatiku mendengar amaran daripada Najib.
“ Suka hati aku
lah. Kau bukan ada hak nak larang aku pun. Kau sibuk sangat kenapa? Aku bukan
buat apa pun. Lepak-lepak, makan-makan je dengan budak-budak tu,” aku
membalas dengan nafas turun naik menahan marah.
Najib berdiri
dan menghampiri meja aku. “ Awak tau kan budak-budak tu semua tak sekolah
dah. Diorang tu pun ada yang hidu gam. Awak pun nak ikut sama ke?”.
“Ingat sikit,
awak tu perempuan. Pakaian tu, biar sopan sikit, tutup aurat. Jangan nak
malukan mak bapak awak sekali kalaupun awak tak reti malu”, sambungnya
lagi.
Berdesing
telinga aku mendengar ayat terakhir yang laju keluar daripada mulutnya. Pantas
aku berdiri untuk keluar daripada kelas. Sempat aku baling bekas pensil ke
arahnya sebelum semua isi di dalamnya terburai keluar. Terjerit kecil Liza
melihat tindakan aku. Najib hanya memegang bucu kiri dahinya. Aku sedikit pun
tidak terkesan bila Liza memberitahu dahi Najib terluka kerana balingan aku
yang tepat singgah di dahinya tadi.
Seminggu aman hidup aku apabila tiada kelibat Najib di
hadapan pintu pagar sekolah. Tidak ada Najib di dalam kelas untuk menyindir. Latihan
hoki Liza petang Khamis juga tidak kelihatan Najib di padang. Sesi latihan juga
sekejap sahaja. Sekadar taklimat ringkas daripada Cikgu Zawawi Rahman dan kemudiannya
sesi memanaskan badan yang diketuai oleh Hisyam. Walaupun aku gembira, tetapi
hati tetap terasa hampa. Tiada kapal terbang kertas biru untuk aku sejak
seminggu yang lalu.
“Aimie, awak
gantikan Najib untuk pembentangan projek khidmat masyarakat nanti ye. Cikgu tak
fikir Najib akan mampu meneruskan tugasan dia tu”, Cikgu Rohaya yang
berdiri di hadapan kelas mengejutkan lamunanku.
“Err.. emmm..
saya tak tahu la cikgu. Saya belum buat.”
“Tak pe,
sebelum kemalangan hari tu Najib dah serahkan bahan-bahan untuk pembentangan ni
kepada saya. Awak tinggal teruskan sahaja”, sambung Cikgu Rohaya bila aku
kelihatan keliru.
“Siapa
kemalangan cikgu?”, aku pantas bertanya.
“Awak tak
tahu ke? Najib sekarang separa sedar kat hospital. Kemalangan depan sekolah
Khamis lepas,” jawapan cikgu
membuatkan aku terduduk. Membahang panas mukaku. Aku teringat gembiranya Roji,
kawan lepak aku bercerita tentang dia terlanggar budak sekolah minggu lepas.
Sebaik tamat
waktu sekolah, aku bergegas balik dan meminta abah menghantar aku ke hospital.
Sebaik sampai, aku lihat seorang wanita separuh umur tenang membaca surah
Yassin di telinga kanan Najib yang berselirat dengan wayar di tangan dan
hidung. Aku menghulurkan tangan dan mengucup lembut tangan wanita itu.
“Aimie, sabar
ye nak. Sudah takdirnya begini. Mak cik redha dengan apa yang terjadi kepada
Najib,” sepatah sepatah kata-kata emak Najib masuk ke telingaku. Tersayat hatiku melihat kepala Najib berubah
bentuk. Berjuraian air mata tidak mampu aku tahan melihat betapa deritanya
seorang sahabat.
“Ni beg yang
Najib bawa semasa dia kemalangan. Makcik rasa baik makcik serahkan kepada Aimie”
Rakus aku
membuka beg kertas biru yang di serahkan. Di dalamnya, terdapat satu kapal
terbang kertas biru seperti yang selalu aku dapat. Tetapi, kali ini saiznya lebih
besar. Terketar-ketar tanganku membuka lipatan origami kapal terbang kertas
biru itu. “Aimie sahabatku…Belajar
bersungguh-sungguh selagi diberi kesempatan. Hidup hanya sekali. Buatlah
perkara terbaik untuk hidup hari ini dan akhirat kelak. Ikhlas daripada sahabat
yang ingin melihat kesejahteraanmu.. Najib”.
Kali ini aku
benar-benar menangis. Pemilik kapal
terbang kertas biru akhirnya aku temui. Tetapi sudah terlambat. Keadaan
juruterbang kapal terbang kertas biruku sangat menuntun hiba sesiapa pun yang
melihatnya. Lebih sakit perit hatiku, apabila menyedari Najib menjadi begini
kerana aku selalu menceritakan geram dan marahku kepada Roji setiap kali kami
lepak bersama. Roji, yang lebih tua setahun daripada aku selalu tekun mendengar
luahan hatiku tentang Najib.
“ Ni saya
bawakan keputusan SPM saya. Saya dapat 8A 1B, awak. Tengok ye,” sambil aku
menarik tangan Najib yang lembik dan merengkot. Setiap kali datang melawatnya,
Najib enggan melihat ke muka aku. Aku akan bercakap seorang diri menceritakan apa
yang berlaku di sekolah. Walaupun tiada apa-apa reaksi daripadanya, aku tetap
berceloteh. Aku khabarkan tentang sesi pembelajaran di dalam kelas dan sesi latihan
hoki petang Khamis. Aku sampaikan juga salam kawan-kawan yang lain-lain beserta
perihal suka duka yang aku lalui seharian di sekolah.
“Saya balik
dulu ye. Awak rehat ye. Saya datang lagi nanti. Maaf la.. Hari ni saya gembira
sangat sebab keputusan tu. Lupa balik rumah dulu tadi,” aku ketawa kecil
walaupun aku tahu Najib tidak akan memberi apa-apa tindak balas. Ketika aku
bangun, terasa hujung lengan baju kurungku di tarik. Aku pantas menoleh ke muka
Najib. Najib memandang tepat ke dalam anak mataku. Aku lihat matanya bergenang sebelum
perlahan-lahan menitis daripada hujung matanya. Hatiku libang libu. Aku menepuk
perlahan bahu kanannya, tersenyum untuk menyembunyikan air mata sendiri.
Terhenti
langkahku ketika tiba diperkarangan rumah Najib. Kelihatan Lebai Mahadi dan Imam
Aziz sedang berbincang di anjung rumahnya. Kelihatan juga adik beradik lelaki
Najib yang lain menyertai perbincangan. Usai memberi salam aku pantas melangkah
ke ruang tengah tempat Najib terbaring kaku. Seperti rutinnya, aku akan datang
untuk menyuapkan susu yang menjadi makanan ruji Najib sejak kemalangan.
“Aimie, tak
payah suapkan Najib lagi ye nak. Dia telah pergi bertemu Penciptanya sebentar
tadi,” lembut sentuhan tangan dingin emak Najib di belakang tanganku.
Surat panggilan
Universiti Teknologi Malaysia di tangan aku genggam renyuk dengan seribu
perasaan. Panas pelupuk mataku menjadi kaca jernih memecah. Ketat kerongkongku
untuk melafazkan innalillah..
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
** kontraversi dan konflik ktkb.. kufikir milik dia..tapi ku temui kamu..rupa-rupanya anda yg punya... apapun.. ktkb milik mutlak diriku... kenanganku.. siapa empunyanya tidak lagi keutamaan bagiku... yg penting.. ia kebahagiaan ku sepanjang usia remajaku...
No comments:
Post a Comment